Garis Panduan Hadapi Bencana
DIkirim oleh BSMMcUiTM di Rabu, 12 Disember 2007
Oleh: Abdul Halim Yusoff
KUALA LUMPUR, 11 Dis: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak malam tadi melancarkan buku panduan Peraturan Tetap Operasi bagi memudahkan agensi dan jabatan berkaitan mengurus dan mengendalikan pelbagai bencana dihadapi negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, buku panduan itu menggariskan tujuh peraturan tetap operasi yang perlu diikuti agensi berkenaan untuk menangani bencana seperti banjir, kebakaran hutan dan jerebu.
“Garis panduan itu juga merangkumi hal ehwal pengurusan bencana membabitkan sektor industri, petroleum, gas dan petrokimia; tsunami, gempa bumi dan kemarau,” katanya pada majlis Malam Jasamu Dikenang sempena Hari Kesedaran Bencana 2007 anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini.
Hadir sama Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Setiausaha MKN, Datuk Muhammad Hatta Ab Aziz; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah.
Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan menghargai sumbangan idea pelbagai pihak dalam menghasilkan peraturan tetap operasi berkenaan.
“Saya berharap peraturan tetap operasi ini akan digunakan untuk menentukan ia sentiasa relevan dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata bagi meningkatkan keupayaan menangani bencana yang melanda negara, kerajaan sudah membuat beberapa perolehan aset yang diperlukan ketika bencana, termasuk seunit Hospital Medan yang dikeluarkan di Sepanyol.
“Kemudahan hospital ini membolehkan tindak balas secara berterusan sehingga sebulan di kawasan bencana. Antara komponen hospital itu ialah ruang pesakit luar, bilik pembedahan, ruang kecemasan, unit rawatan rapi, wad pesakit dan dapur,” katanya.
Najib berkata, Hospital Medan itu diserahkan kepada ATM selaku penyelenggara kemudahan itu.
Sementara itu, Najib berkata, kerajaan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara menerima sumbangan RM18.3 juta daripada pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana. Wang itu katanya, sudah digunakan untuk pelbagai program dan projek bagi membantu mangsa bencana di seluruh negara.
Sumber : Berita Harian, 12 Disember 2007
* Lihat juga topik berkaitan:
-
Hari Kesedaran Bencana Negara adalah pada 26 Disember setiap tahun








